SULTAN IBRAHIM: MASYARAKAT CINA TURUT BERPERANAN PENTING DALAM MEMBANGUNKAN EKONOMI JOHOR
DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, Johor menghargai peranan serta penglibatan masyarakat Cina ketika pembukaan dan pembangunan negeri ini sejak awal zaman Kesultanan Johor pada abad ke-16.
Dalam satu wawancara khas sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Baginda Tuanku Sultan memberi penghormatan kepada masyarakat Cina, yang turut bersama-sama bekerja keras dalam membantu membangunkan serta memodenkan Johor.
Disamping menggambarkan masyarakat Cina sebagai antara 'tiang ekonomi Johor', DYMM Sultan Johor bertitah, sumbangan mereka yang luar biasa perlu turut diiktiraf.
Mengimbas sejarah, Baginda Tuanku Sultan bertitah, masyarakat Cina diundang ke Johor sebagai 'tetamu' pada zaman nenek moyang Baginda bagi bersama membantu mengembangkan Negeri, dan bukannya dilihat sebagai 'pendatang'.
“Nenek moyang saya mempunyai pandangan jauh untuk menjalin hubungan yang unik dengan masyarakat Cina. Mereka bukan "pendatang". Mereka dijemput ke Johor untuk membuka tanah dan mengusahakan ladang.
"Mereka adalah" Bangsa Johor" sama seperti orang Melayu, orang India dan lain-lain... semuanya orang Malaysia," tegas Baginda Tuanku Sultan.
#sultanjohor
#royalpressoffice
#johor